 |
Ahli perniagaan berumur 28 tahun |
Sejak kecil lagi Dahlan dikurniakan fikiran yang cerdas dan ramai orang mengatakan yang masa depan Dahlan secerah matahari. Semasa di sekolah rendah, Dahlan selalu menerima hadiah semasa hari penyampaian hadiah sekolah setiap tahun. Memang benar Dahlan bersekolah luar bandar dan hampir separuh murid masih belum mahir 3M tetapi dengan markah keseluruhan yang sedemikian rupa, Dahlan masih boleh menerima hadiah walaupun bersekolah di kawasan bandar.
Ketika di sekolah menengah Dahlan diterimamasuk ke sekolah berasrama. Dahlan tidak lagi mendapat hadiah tahunan memandangkan hampir kesemua murid mahir 3M. Walaupun begitu, Dahlan masih dikategorikan sebagai pelajar harapan. Selepas mendapat keputusan yang cemerlang peperiksaan sekolah menengah, Dahlan dihujani dengan pelbagai tawaran melanjutkan pelajaran ke puncak menara gading. Dahlan terima satu tawaran dengan hati yang girang.
Selepas beberapa bulan, kemahiran 3M Dahlan telah berubah daripada membaca,mengira dan menulis menjadi mencarut,menonton cerita lucah dan melukakan hati gadis-gadis yang kurang cantik. Dengan gadis-gadis cantik selalunya Dahlan yang terluka. Kehidupan Dahlan semakin huru hara. Dahlan selalu terminum air yang ada semut.
Setelah sekian lama bergelumang dengan kacau bilau, Dahlan menerima surat daripada bekas penaja pengajian untuk menghadiri sesi motivasi. Walaupun Dahlan sudah ditamatkan tajaan pengajian, namun pihak penaja tidak melupakan Dahlan. Di samping surat jemputan motivasi untuk menghadapi alam pekerjaan, pihak penaja turut menghantar surat peguam untuk pembayaran semula sepanjang Dahlan ditaja selama setahun dua bulan. Daripada anak emas penaja, Dahlan menjadi anak tiri dalam sekelip mata kerana dugaan dunia.
Setelah mengharungi beberapa sesi motivasi, tibalah masa seorang ahli perniagaan untuk memberi ceramah. Beliau bukan seorang pakar motivasi tapi dengan memiliki aset cair sebanyak RM 3juta pada usia 28 tahun, pengalaman beliau wajar dikongsi dengan anak-anak muda. Ahli perniagaan tersebut tidaklah sekacak mana. Berkepala botak licin, mata besar menyorot ganas, berbibir nipis dan tidak memiliki telefon pintar. Beliau menceritakan yang beliau amat terhutang budi kepada kekasih hati beliau ketika di sekolah rendah yang kini sah menjadi isteri beliau yang memberi galakan tanpa mengira jemu. Tambahan pula wang memulakan perniagaan dipinjam daripada isteri beliau yang ketika itu belum menjadi isteri yang sah. Berjumpa dengan ibu bapa pun belum lagi.
Sebagai ahli perniagaan yang amat yakin dengan kemampuan diri, beberapa ayat berkeyakinan tinggi terpacul dari mulut beliau."Kalau isteri aku suruh pilih antara kerjaya dan dia,aku akan pilih kerjaya. Tapi kalau dia tanya 12 tahun lagi,aku sudah tentu akan pilih dia. Aku dah pencen dan bergelar datuk wira setia mahkota pada masa tu".
Dahlan terpengaruh. Dia teringat Orkid,gadis manis jiran sebelah rumah. Dia mahu Orkid menjadi sumber inspirasi.
Tetapi sebelum itu, Dahlan harus singgah ke kedai gunting rambut untuk membotakkan kepala.
 |
2011:Dahlan yang tak jadi cukur kepala bersama-sama Orkid.Dahlan jadi superhero terkenal. |